Jumaat, 6 April 2012

06 Apr.
Dicatat oleh lpjmarinetraffic |
JOHOR BAHARU, 6 April (Bernama) -- Terminal Feri Tanjung Belungkor di Johor dan Terminal Feri Changi di Singapura yang kedua-duanya milik Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) perlu dimajukan, kata bekas pengerusi LPJ, Datuk Abdul Halim Sulaiman.

Beliau berkata ini kerana kedua-dua terminal yang dibina dengan kos RM50 juta itu kini kurang digunakan.

"Walaupun dinamakan terminal feri, tetapi tidak ada operator perkhidmatan feri yang beroperasi sama ada di Tanjung Belungkor yang terletak di Pengerang, timur Johor atau di Changi, Singapura.

"Kita mempunyai infrastruktur yang baik tetapi tidak digunakan. Ia merupakan suatu pembaziran yang amat besar dan jikalau dibiarkan begitu sahaja, ia akan menjadi projek 'gajah putih," katanya kepada Bernama.

Abdu Halim mendakwa LPJ mentadbir sepenuhnya Terminal Feri Changi menerusi sewaan tanah sebanyak RM500,000 setahun daripada kerajaan Singapura.

Terminal Feri Tanjung Belungkor mengikut perancangan adalah bagi menyediakan kemudahan feri bagi pelancong daripada Singapura dan Indonesia yang mahu memasuki negara ini daripada Changi, Pulau Batam dan Tanjung Pinang.

Kedua-dua terminal dikatakan juga turut menyediakan perkhidmatan feri bagi kemudahan pelancong Singapura membawa kenderaan mereka ke Johor.

"Disebabkan kedudukan Terminal Feri Tanjung Belungkor yang berdekatan dengan Singapura dan Indonesia, ia berpotensi untuk menjadi pintu masuk utama pelancong dari kedua-dua negara ini," kata Abdul Halim yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Puteri Wangsa dan Timbalan Ketua Umno bahagian Tebrau.

"Ia ditambah pula kedudukan Terminal Feri Changi yang terletak bersebelahan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, yang juga merupakan antara lapangan terbang tersibuk di dunia dengan penggunanya mencecah puluhan juta orang setiap tahun.

"Dengan itu, kita juga boleh membawa pelancong terus daripada Lapangan Terbang Changi ke Johor menggunakan Terminal Feri Changi dan Tanjung Belungkor untuk mengunjungi pulau-pulau yang cantik di perairan timur Johor," katanya.

Beliau berkata Terminal Feri Tanjung Belungkor juga berpotensi untuk dijadikan hab pengangkutan laut bagi menghubungkannya dengan Terminal Feri Stulang Laut di Johor Baharu.

"Pertumbuhan di timur Johor dijangka akan menjadi lebih rancak apabila Lebuhraya Senai-Desaru siap tidak lama lagi serta rancangan kerajaan untuk membangunkan Pengerang sebagai hab industri minyak dan gas negara yang baru.

"Oleh itu Terminal Feri Changi dan Tanjung Belungkor perlu diberi suntikan baru di segi strategi pemasaran yang berkesan bagi memastikan kedua-dua kemudahan itu dapat menyumbang kepada kemakmuran negara," kata Abdul Halim.



-- BERNAMA