Ahad, 22 April 2012

Dicatat oleh lpjmarinetraffic |

Terminal Feri Tanjung Belungkor Mula Operasi

SAMBUTAN menggalakkan selepas pengurusan Indofalcon Shipping ambil alih operasi Terminal Tanjung Belungkor dan Terminal Feri Changi, baru-baru ini.
SAMBUTAN menggalakkan selepas pengurusan Indofalcon Shipping ambil alih operasi Terminal Tanjung Belungkor dan Terminal Feri Changi, baru-baru ini.
 
Indofalcon Shipping sedia khidmat hubungkan dua negara

JOHOR BAHRU: Terminal Feri Tanjung Belungkor dan Changi kembali beroperasi sejak 2 April lalu, selepas hab pengangkutan laut itu diambil alih syarikat, Indofalcon Shipping, yang menyediakan perkhidmatan feri menghubungkan antara dua terminal terbabit.
Syarikat yang mengendalikan feri penumpang Bahtera Ekspress itu menyediakan dua perjalanan sehari dengan keupayaan membawa 130 penumpang pada setiap pelayaran.

Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ), Nik Aziz Nik Hussain, berkata feri terbabit dijangka mampu memenuhi permintaan, terutama pengguna dari Singapura yang mahu melawat kawasan tarikan pelancong di negeri ini.

Berdasarkan perangkaan LPJ, katanya, 95 peratus penumpang feri yang disediakan di terminal itu adalah warga Singapura yang memilih Tanjung Belungkor untuk melawat sekitar Kota Tinggi dan Desaru.

"Selepas tiga minggu beroperasi dengan menawarkan dua perjalanan setiap hari, syarikat terbabit bercadang menambahkan satu lagi perjalanan tambahan bagi menampung jumlah yang ramai ketika operasi hujung minggu," katanya di sini.

Beliau mengulas kenyataan bekas Pengerusi LPJ, Datuk Abdul Halim Sulaiman, yang dilaporkan meminta dua terminal feri terbabit dipulihkan kerana sebelum ini tidak mempunyai perkhidmatan feri.
Abdul Halim dilaporkan menggesa LBJ yang turut mentadbir sepenuhnya Terminal Feri Changi supaya menyediakan perkhidmatan feri di situ bagi mengelakkan pembaziran berikutan keperluan membayar sewaan tanah RM500,000 setahun kepada Kerajaan Singapura.

Beliau membuat teguran itu kerana dua terminal terbabit dibangunkan dengan kos RM50 juta tetapi tidak menyediakan perkhidmatan feri, walaupun mempunyai infrastruktur yang lengkap termasuk kemudahan untuk feri yang membawa kenderaan.

Nik Aziz berkata, pembukaan semula dua terminal terbabit diharap mampu menjadi tarikan pelancongan berikutan penyediaan perjalanan feri yang tetap setiap hari dan kini mendapat reaksi positif daripada orang ramai kerana ia adalah satu-satunya terminal feri yang beroperasi di Tanjung Belungkor.

Katanya, tujuan asal pembinaan terminal itu adalah menjadi pemangkin kepada produk pelancongan sekitar Desaru dan Kota Tinggi kerana kita mensasarkan kemasukan rakyat Singapura.

"Kerjasama ini akan mengeratkan hubungan kerajaan negeri dan Singapura kerana kemudahan yang disediakan itu dapat menguntungkan kedua pihak terutama berpotensi menerokai produk pelancongan tempatan," katanya.
 
Oleh Mahani Ishak